Seringkali aku dipersalahkan. Penat berdiam aku memilih untuk bercerita.
Mengapa aku menjadi pesalah nyata pada pandanganmu? Apa benar tiada lagi ruang buatku?
Dahulu,
engkau berjanji, tidak akan sekali lagi meninggalkan aku sendiri. Tidak
cukup setahun, dikau berlalu pergi, yang jelas meninggalkan aku meniti
tanpa teman di sisi. Tahukah engkau, rindu tidak pernah pergi
sebagaimana engkau berterusan menjauhkan diri. Rindu semakin hampiri
saat engkau mengambil untuk tidak mempeduli.
Teman,
Mengapa
pilih aku untuk menjadi mangsa, yang diberi harapan tiap masa, tapi
akhirnya dibiar kecewa. Mungkinkah ini mainan yang telah dikau aturkan,
seperti catur yang mengatur langkah, tidak sekali undur walau terpaksa
kalah, berterusan ke hadapan demi mencapai kemenangan berterusan yang
mampu mengganti askar kepada sang perwira. Lama benar telahku
perhatikan, jejakmu kuikuti perlahan. Dalam tidak sedar, seolah mengerti
apa mahumu yang sering dalam penasaran tanpa batas. Aku leka? Ya,
dahulu, saat kali pertama kita bertemu. Yang detik itu tidak pernah
sekali aku bayangkan.
Teman,
Andai esok masih bersisa kasih
yang pernah dimiliki, simpankan ia jauh dalam kotak hati. Jangan
bertindak kejam untuk terus melupai. Izinkan kenangan dulu mengubat
sepi. Percayakah engkau jika aku mengakui sayang tidak pernah hilang?
Yang mana, dia selalu ada bersama serpihan rindu yang berterbangan.
Percayalah, kerana itu memang benar. Dan percayalah, kasih semalam masih
seperti dulu saat kita bertemu pandang.
Teman,
Kucoretkan
perasaan dihelaian yang tidak bergaris. Ruang tersedia besar nan luas.
Tidak semua akanku coretkan. Sedikit, hanya sedikit kisah sebagai tanda
ingatan yang engkau tidak pernah dilupa. Seperti mahuku menjerit tentang
resah yang ada tiap kali ingat akan engkau yang jauh di sana. Jemari
ini mula perlahan, ingin berhenti dari berterusan. Cukup rasanya apa
yang tersedia. Hanya ini yang tertulis untuk seketika. Akanku berhenti
untuk terus bertanya, mengapa....
Helaian semalam...comic_comot