Ayah,
Semalam aku bermimpi tentang kamu
memegang erat tanganku dengan kemas sekali
lalu menyisih rambutku dengan jemari kasarmu
sambil tersenyum merenung jauh wajahku, mengapa?
saat aku cuba dekati kamu, dikau hilang tanpa jejak
kupanggil berulang tidak berjawab
hanya kelibat kenampakkan
jauh..jauh..jauh di sudut sana
mengalir air mata hingga aku terjaga dari lena.
Ayah,
Seingat aku
aku hanya mendakapmu bila kita bersalam mesra di pagi hari raya
kulayarkan kucupan mesra didahi dan pipimu
tidak seperti hari biasa, aku hanya bersalam dan mencium tanganmu
dengan keupayaan yang dikau punya hari ini
mendesak diriku untuk lebih mendekati dan bermanja denganmu
hiba kurasa dari sudut hatiku, melihat dikau diam begitu, hanya berjalan jika perlu
tiada suara garau seperti dahulu, hanya sesekali dikau berdehem
sungguh aku sedih lihat dikau begitu.
Ayah,
Sungguh aku perasaan, tidak pernah sekali kuucap sayang padamu
terbiasa dengan bahasa tubuh, yang kuharap dikau mengerti
melihat dirimu kini, teringin sekali ingin bahagiakan dirimu
andai mampu, apa sahaja kemahuanmu akanku cuba turuti, semahunya
tidak terbalas segala jasamu,
tidak terucap penghargaan yang ingin kuberikan
selagi terdaya, aku akan berada di sisimu, selalu.