Bukan Siapa-siapa

My photo
Kubingkiskan bait bagi mengubat hati yang resah. Seperti melakar di helaian jingga dalam mewarnai perasaan tersimpan. Diiringi melodi berdondang merdu membuai rasa sebak yang terpilu. Lihat paparan dada langit biru, itulah ketenangan impianku. Yang sesekali didatangi gerimis nakal yang menjenguk rebah. Membangkitkan aku dari lena kelam yang tak sudah. Dan aku pelajari detik hitam sebagai langkah mencari diri aku yang sebenar

23 February 2012

BERHENTI MENCINTAI AKU

Ketika mendung menguasai alam
aku masih terkaku membaca coretan ringkasmu
biar tidak berjelar hingga ke helaian kedua
aku cukup mengerti apa maksudmu
walau tidak sekali kau pamerkan kasih sayang yang terbela
tanpa pernah ada pengakuan cinta
suratmu kini kugenggam penuh makna
yang mampu kuucap
berhenti menyintai aku
andai engkau tidak mahu terus dilukai
berhenti menyayangi aku
jika tidak kau akan terus kecewa tanpa penamat

Aku bukan untukmu
tidak layak aku berdiri di sisimu
padamkan kenangan kita bersama
biar yang terlakar dilipat kemas
dan jangan lagi berharap kepulangan

Maaf....aku bukan tercipta untukmu

AKU JUMPA

setelah penat menggali tanah berlumpur
aku tersandar kepenatan
di bawah pohon yang tak berdaun
perlahan kukesat peluh yang membashi baju
fikiran mula jauh melayang
mengingat tujuan asal
agar tak berhenti separuh jalan
tekadku kembali segar
perlahan kubangun semula
dan terus menggali hingga luka bercalar tapak tangan

saat hampir jatuh keletihan
mata ini tepat memandang sesuatu
jelas dan cukup yakin
aku jumpa, ya aku telah jumpa
aku jumpa apa yang kucari selama ini
tanpa sedar manik-manik kecil berguguran
hatiku tersentuh, kupanjat syukur pada Dia yang Esa
sungguh bukan sehari aku duduk menggali
cukup berbaloi usahaku selama ini

aku jumpa serpihan cinta yang berselerak
aku jumpa helaian kasih sayang yang hampir koyak
aku jumpa rimbunan rindu yang semakin pudar
ya, aku telah jumpa..jumpa cinta yang pernah bertakhta di hati

SAMPAI DETIKNYA

bagai dedaun gugur
tak dipeduli, terbiar
kering lalu disapa angin, berselerak

berganti dedaun hijau
di dahan merimbun
penuhi ranting, menjalar rapat

dari kejauhan di lihat
tidak lagi sama seperti semalam
lain, berubah segalanya

sampai detiknya
tanpa sedar
yang pergi berganti

SELALU ADA

Biar tak kuucap betapa melangit kasih sayang ini buatmu
ia selalu ada
biar masa jadi saksi
tidak perlu dihitung detik pertemuan
selagi percaya ada jodoh buat kita
yakinlah, kita tetap bersama.

MEREKA YANG KALAH PADA AMARAH

Jangan ditoreh pada wajah tak bersalah
dengan berkata-kata sahaja kamu merobek hati hingga luka
bicaramu cukup berbisa
seakan kamu menikam dengan lidah yang lincah lagi lancang
dia hilang suara, seperti separuh nyawa melayang
seakan gugur nafas menghempap maruah
kamu, kejam!
pernahkah kamu mengerti hatinya
yang sering diam, walau wajah tampak seri
hakikat pasti, kosong, kosong, kosong
bukan takut, hanya ingin memilih untuk duduk diam agar lebih tenang
apa guna melolong balas, bercakar kata yang akhirnya tangisan menjadi teman?
persetankan halilintar amarah
yang hanya menampakkan kebodohan diri sendiri
gagal untuk bersabar
memalukan diri tanpa sedar, terburai kelemahan
yang lainnya senyum sinis, bererti.

01 February 2012

TAK BERDAYA

kulewati waktu yang berbaki
membilang hari tanpa penat
memerhati dalam sayu
tanpa sedar
senyumku pudar dek masa

kupujuk hati
menerima seadanya
tanpa sebarang rungutan
pasrah segalanya
biar tak tertutup luka
sesekali pedih jelas terasa
tak berdaya

sekali lagi
aku belajar untuk menerima
tanpa sesal
buat kali kedua menghidang peluang
menanti penuh harap
jangan nanti ia tak dihargai lagi

andai
tiada beza dengan yang semalam
aku tekad mengundur diri
pergi jauh
mencari pelangi sendiri

BUTA

bukan tak nampak
cukup jelas dan nyata
tapi hati diam berbicara
sengaja berlari sedang kebenaran depan mata
menafikan tanpa berkata-kata
hati merintih saban waktu
pilu yang tak akan hilang
mengapa dibutakan pada kebenaran?
atau mungkin takut hadapi kesepian
ah! rungutan tak pernah henti
mengadu domba saban hari
muak didengar
buta? kau yang sengaja buat-buat buta
walaupun jelas kau cukup celik

MATI

kukuburkan kasih yang melata
agar tidak lagi terbiar tak berpenghuni
seperti nekad memilih
tak mampu untuk berpaling
kuberserah pada DIA
selayaknya apa yang terbaik untukku